TIDAK siapa dapat menafikan kuasa sebenar rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang telah berlangsung pada Sabtu lalu.
Setelah 11 kali pilihan raya umum, rakyat Malaysia jelas berani ‘bereksperimen’ selari dengan peredaran masa kurun ke-21 ini. Prof. Madya Dr. Ahmad Atory Hussein dalam ulasannya di stesen TV3 turut menegaskan betapa kompleksnya tingkah laku pengundi negara ini.
Dengan 72.2 peratus daripada hampir 11 juta pengundi berdaftar keluar mengundi, satu dinamika baru politik tanah air telah tercetus. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Barisan Nasional (BN) gagal dalam misi ‘merawat’ Kelantan bahkan hilang negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor selain menang dengan majoriti tipis di banyak kawasan DUN dan Parlimen.
Mujurlah Johor, Sabah dan Sarawak menjadi akaun tetap BN untuk sekadar mencapai syarat majoriti mudah.
Jelas, peratusan tertinggi yang keluar mengundi di Kelantan sehingga 81 peratus itu adalah manifestasi daripada pendirian politik rakyat Kelantan yang tetap mahu berpegang pada kepimpinan ulama Pas.
Persoalannya, bukankah kerencatan ‘gelombang biru’ yang tidak diduga ini sebenarnya menghantar satu isyarat jelas bahawa rakyat berbilang kaum di negara ini semakin bersifat selektif dan analitikal dalam menentukan siapa yang harus mewakili suara mereka?
Nampaknya, isu-isu nasional seperti kos sara hidup, konsumerisme, keselamatan, integriti, kehakiman, kedudukan kepentingan strategik negara serta isu-isu menyentuh hak asasi manusia menjadi perkiraan rakyat berbanding habuan pembangunan mega melalui pelancaran koridor-koridor ekonomi.
Terbukti, pendekatan politik pembangunan yang cuba dibawa masih gagal ‘memujuk’ para pengundi memberikan sokongan.
Dalam masa yang sama, faktor atau sentimen kaum juga turut mempengaruhi pola tingkah laku pengundi. Ini diakui oleh Dr. Rashila Ramli dalam program bual bicara sempena keputusan pilihan raya di TV9 yang menerangkan signifikan kedudukan ekstrem majoriti kaum di sesuatu kawasan.
Trend pengundi Cina bandar misalnya memang sejak dahulu begitu selesa memilih DAP. Keadaan ini berterusan sehingga kini malah Pulau Pinang yang menjadi kubu kuat Gerakan pun telah ‘diluncurkan’ ke udara oleh parti roket itu.
Satu perkembangan menarik didapati apabila kawasan-kawasan yang didominasi oleh masyarakat Melayu baik di kawasan desa mahupun bandar kebanyakannya berpihak kepada Pas atau PKR. Adakah peralihan undi ketara kaum Melayu terutama di Kedah, Perak dan Selangor adalah suara protes senyap bangsa Melayu terhadap dasar kepimpinan UMNO yang dilihat sejak mutakhir ini semakin kurang memperjuangkan aspek asasi atau fundamental bangsanya?
Tidak keterlaluan dikatakan, pengundi-pengundi Melayu seolah-olah ‘makan hati berulam jantung’ memikirkan masa depan bahasa, pendidikan, budaya, aset tanah rizab Melayu, agama dan ekonomi masyarakat bawahannya yang dirasakan seperti tidak menentu walaupun UMNO sering melaungkan agenda pemerkasaan bangsa dalam setiap kali perhimpunan agungnya.
Bukan sedikit suara kegelisahan sosial bangsa Melayu melihat UMNO seperti tidak lagi peduli tentang kepentingan survival bangsanya.
Ini ditambah pula dengan imej korporat dan elitis serta kurang mesra terhadap rakyat marhaen yang menjadi seolah-olah identiti sebahagian pemimpinnya selain dasar terlalu liberal dan peruntukan ratusan juta untuk perkembangan bahasa, budaya, ekonomi dan pendidikan kaum bukan Melayu.
Anggapan kuat ini disokong dengan pendirian pemimpin UMNO sendiri bahawa UMNO ialah parti untuk semua kaum.
Oleh itu, mulai sekarang UMNO perlu kembali kepada perjuangan hakiki memartabatkan bangsa Melayu jika mahu terus dilihat relevan untuk masa akan datang.
Suka atau tidak, suara akar umbi rakyat seluruh negara ini tidak harus dipersoalkan sebaliknya perlu disambut dengan lapang dada disusuli dengan muhasabah diri.
Mandat rakyat yang turut memberi ruang kepada banyak kemunculan kerusi pembangkang di Parlimen tidak perlu disambut dengan ‘silat latah’ berpanjangan jika masing-masing mengutamakan kepentingan kolektif bangsa Malaysia.
Apa pun, bermula 9 Mac ini BN perlu lebih berhemah dan berintegriti dalam berhadapan dengan gema suara yang lebih kuat daripada barisan pembangkang di Parlimen nanti.
Pertambahan kerusi pembangkang di Parlimen seharusnya menjadikan BN bersiap siaga memperbaiki prestasi serta keterampilan diri sesuai dengan mood proses menuju kematangan budaya politik yang mulai ditunjukkan melalui keputusan pengundian.
Diharapkan, proses semak dan imbang (check and balance) yang terkandung dalam semangat demokrasi berperwakilan amalan kita selama ini dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan hidup bangsa Malaysia untuk sekurang-kurangnya satu penggal pemerintahan mulai sekarang.
– MOHD. ARIF ATAN,
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.
Gambar: Ihsan New Straits Times
Posted by admin |
No Comments »