
Mendahului TNC HEP kampus-kampus lain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya, Dr. Azarae bin Hj Idris mula menulis di alam maya melalui blognya, Cetusan Pak Rae. Dr Azarae yang lebih dikenali dengan nama Pak Rae sudahpun mula menjinakkan diri dengan ‘blogosphere’ sejak 6 Jun 2008 melalui ‘posting‘nya yang pertama bertajuk Selamat Bercuti yang ditujukan kepada semua mahasiswa/i Universiti Malaya.
Dalam e-mail terbarunya yang dihantar kepada semua mahasiwa/i Univerisiti Malaya, beliau meminta cadangan dari mahasiswa sama ada untuk bersetuju ataupun tidak untuk membenarkan operasi kafe-kafe francais seperti Starbucks, kopitiam dan Dunkin Donuts di dalam Universiti Malaya. Peluang itu juga digunakan oleh beliau untuk mempromosikan blog beliau.
Selain itu, Pak Rae juga mengambil inisiatif untuk mengadakan undian secara online berkenaan “Setujukah Starbucks beroperasi di IPTA?”
Dalam perkembangan yang berlainan, blog-blog mahasiswa Universiti Malaya juga memnberikan respon terhadap kemunculan TNC HEPA di dalam dunia bloggers.
Saudara Mohd Hasbie Muda di dalam blognya, melihat perkembangan tersebut sebagai langkah yang berani dan tidak berselindung daripada pihak TNC HEPA. Beliau juga mengucapkan tahniah atas perkembangan tersebut.
Jendela Hikmah yang merupakan suara rasmi Mohd Faisal bin Mustaffa, turut memuatkan komen berkenaan dengan perkembangan terbaru ‘Cetusan Pak Rae’.
“Sebagai “pemantau” kepada aktiviti pelajar, kewujudan blog ini amat bermakna kerana segala buah fikiran dan cadangan yang beliau akan kemukakan kepada para pelajar dapat dilayari terus didalam laman blog beliau. Segala respon daripada para pelajar akan terus disampaikan kepada beliau. Jika sebelum ini, Perdana Mail menjadi tempat beliau meluahkan rasa, namun begitu ianya kurang berkesan kerana tidak semua pelajar cakna dengan Perdana Mail mereka ” dipetik dari http://faisalkini.blogspot.com
Secara amnya, mahasiswa memadang tindakan ini sebagai satu cara lagi untuk mendekatkan mahasiswa dengan pentadbiran universiti. Mungkin seperti yang dibangkitkan oleh saudara Faisal, selepas ini kita bakal menyaksikan blog Naib Canselor Universiti Malaya?





