Logo Background RSS

500 Mahasiswa Gempur Parlimen

  • KUALA LUMPUR 18 Ogos – Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) hari ini berjaya menghimpunkan kira-kira 500 mahasiswa untuk berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen yang bermula jam 8.30 pagi tadi. 

    Walaupun beberapa pegawai HEP dari IPT -IPT tertentu turut hadir untuk ‘mengambil gambar’ dan ‘menghantar laporan’ kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar masing-masing, namun ianya tidak sesekali mematahkan semangat mereka yang hadir.

    Menurut jurucakap GMMA, saudara Ahmad Shahir Abdul Aziz komitmen yang ditunjukkan oleh mahasiswa dari setiap kampus adalah memberangsangkan dalam menjayakan perhimpunan berkenaan.

    ”Kita optimis dengan kehadiran begitu ramai mahasiswa dalam perhimpunan ini berkeupayaan memberikan kesan yang besar dalam perbahasan rang undang-undang Pindaan AUKU di Parlimen nanti”. katanya.

    Perhimpunan tersebut yang dipengerusikan oleh saudara Syazni Munir turut menampilkan ucapan pemimpin-pemimpin mahasiswa dari front-front yang lain.

    Perhimpunan tersebut juga menyaksikan lima pemimpin mahasiswa dibenarkan masuk ke Dewan Rakyat untuk berbincang secara langsung dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun berkenaan bantahan draf pindaan AUKU yang hanya bersifat kosmetik semata-mata.

    Kelima-lima pemimpin berkenaan ialah wakil GMMA, saudara Ridzuan Mohamad, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, saudara Haafizudin Abirerah, , wakil Persatuan Mahasiswa Undang-undang UIAM, saudara Faridzul M. Nasaruddin, Exco Pendidikan & Penyelidikan PKPIM, saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz, dan Zawani Rosle.

    Sementara itu, menurut wakil GMMA, saudara Ridzuan Mohammad mereka berpuas hati walaupun tujuan perhimpunan itu diadakan ialah untuk menemui sendiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin bagi menyerahkan Memorandum Pemansuhan AUKU 1971 (Pindaan 1975) dan Bantahan Pindaan AUKU 1971 (Pindaan 1975).

    “Ok la walaupun tak 100 peratus berjaya. Matlamat kami hari ini ingin berjumpa dengan menteri atau timbalan menteri. Kami berterima kasih kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron kerana sudi menemui kami walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

    Tambah beliau, pihaknya tidak akan menerima sebarang tawaran bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada mana-mana wakil kementerian kerana khuatir ia tidak disampaikan kepada menteri.

    “Pendirian kami jelas dan kami tidak akan berganjak dengan pendirian untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kami kepada menteri atau timbalan menteri walaupun dalam keadaan hujan,” ujarnya.

    “Kami berharap supaya ahli Parlimen sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat supaya membahaskan perkara ini dengan serius untuk kepentingan generasi masa depan serta menggantikan dengan akta yang lebih relevan”.

    “Selain itu biarlah dengan perbahasan tersebut mampu menghasilkan kesimpulan yang lebih positif kepada semua mahasiswa,” tambah beliau lagi.

    Kekecohan berlaku seketika apabila ‘mayat’ yang dibawa oleh mahasiswa dirampas oleh pihak polis. ‘Mayat’ yang dikafankan dengan kain putih sebagai simbolik mahasiswa yang dikongkong AUKU tersebut dirampas selepas perhimpunan bersurai.mahasiswakini.com

    Akhbar lain:

    Berita Harian

    Malaysiakini

    Mstar Online

  1. #1 Thinking Light
    August 18th, 2008 at 9:00 pm

    Bagus bagus.Sudah kian lama mahasiswa berhemah dengan kerajaan untuk memansuhkan AUKU, tiba masanya untuk menyuarakan pendapat melalui demonstrasi.

    Keep it up.

    Post ReplyPost Reply
  2. #2 pro demo
    August 18th, 2008 at 9:57 pm

    Tahniah kepada mahasiswa yang telah sanggup bersusah payah dalam memperjuangka hak-hak mahasiswa! Semoga Usaha kalian dinilai di-sisiNya… Insya-Allah…

    Kepada KPT, tolong ambil tindakan selanjutnya dalam meminda AUKU, kami mahasiswa tidak mahu pindaan yang bersifat kosmetik!

    STUDENT, POWER!

    Post ReplyPost Reply
  3. #3 budak suksis
    August 19th, 2008 at 12:25 am

    bagus dan tahniah mahasiswa yg berani dlm menegakkan keadilan..sy ingin bkongsi pngalaman dlm demo td..ketika ditanya pd seorang anggota polis yg mngawal demo td yg berpngkat ASP,”kenapa kami dihalang utk mnggunakan pembesar suara dn menaikkan sepanduk sperti mana yg dibuat oleh 5000 student UiTM?” jawab ASP berbngsa India itu.”Itu Selangor,undang2 lain,ini KL,pkai undang2 lain,you all xbley la samakan KL dgn Selangor,lgpun kamu smua mngganggu lalulintas..kami just ikut arahan…hahaha…lawak betui aku ngan polis ni.. kalu pegawai yg pngkatnya ASP pun boleh buta undang2 mcm tu,apatah lagi pegawai bwahan..Hidup polis!hidup Polis! malu aku jd budak SUKSIS..hehe

    Post ReplyPost Reply
  4. #4 pocong
    August 19th, 2008 at 12:36 am

    betul,sy sokong budak suksis,polis yg bertindak kasar terhadap mahasiswa mmang sgt2 memalukan..esp time polis cuba nk rebut “MAYAT MAHASISWA”,mmang sgt2 memalukan,4 ke 5 anggota bermain kejar2 ngan sorang student semata2 nk rentap n rebut benda tu,byangkan 5 org tua yang dah bepangkat Bapak Orang berebut benda tu mcm berebut bantal peluk.. hmm..tak tahu lah aku..dunia2..kepada mahasiswa yg lain,bgunlah n jgn byk tdo,bebaskn dirimu dari ditipu dan dipergunakan..HIDUP2x MAHASISWA!

    Post ReplyPost Reply
  5. #5 mahasiswamerdeka
    August 19th, 2008 at 11:34 am

    tahniah kepada mahasiswa yg turun demo… tp, jgn dilupakan KUASA ALLAH… jgn terlupa melahirkan rasa syukur padanya. Tarbiyyah tunjang perjuangan.

    Post ReplyPost Reply
  • Trackback: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia 2008-2009 » GMMA : Demonstrasi Dua Jam Dalam Hujan Trackbacks
  • Trackback: ISU AUKU: DEMONSTRASI DUA JAM DALAM HUJAN « Mansuhkan AUKU!! Trackbacks
  • Leave a Comment