Logo Background RSS

Wujudkan BTN tanpa rasa was-was

  • tengkuUUM

    Oleh: Tengku Mohd Hasrul bin T.Malek*

    Kebelakangan ini, pengharaman dan hal mengenai Biro Tatanegara (BTN) menjadi polemik baru politik dan masyarakat Malaysia. Media arus perdana dan suara-duara rasmi pembangkang juga tidak ketinggalan bercerita dan berceramah mengenai BTN ini.

    Tidak terlepas juga pemimpin-pemimpin mahasiswa tempatan, yang penuh berwibawa ingin membuktikan BTN memang bersalah seperti yang dinyatakan dan juga mempertahankan BTN dengan mengeluarkan pelbagai hujah mahupun bukti mempertahankannya. Pendapat-pendapat umum juga bertaburan di setiap dada-dada akhbar dan kolumnis daripada pelbagai latar belakang turut mencambahkan idea kepada umum…

    Terdapat pendapat mengatakan bahawa BTN sebagai sebuah badan yang memberikan peranan yang cukup berkesan dalam membentuk keperibadian individu, memupuk kerja berpasukan mahupun menanamkan semangat cintakan Negara. Saya tidak menafikan hal ini, malah akan menerimanya sebagai sebahagian yang memang sepatutnya menjadi peranan BTN yang sebenar. Tetapi sayangnya bukan itu sahaja yang BTN lakukan…

    MPPUUM sesi 2008/2009 pernah menjalani kursus BTN di Perak, juga disertai MPP daripada IPT lainnya. Daripada apa yang mereka ceritakan, kursus BTN tersebut dengan sedaya upaya pasakkan kepada kepala pemimpin-pemimpin mahasiswa berkenaan dengan doktrin UMNO, juga tidak ketinggalan adalah memburukkan pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang kononnya sebagai agen yahudi dan sebagainya. Apa ini semua?

    Suatu ketika, seorang kawan saya menghadiri kursus BTN Perlis. Di dalam kursus BTN tersebut memberitahu bahawa saya adalah sebagai agen parti Keadilan di UUM. Agak lucu, daripada manakah idea mereka untuk menuduh sedemikian? Inikah kursus BTN?…

    Tetapi tiadalah rasa dendam untuk saya mengatakan BTN perlu dihapuskan atau sebagainya. Tindakan yang dibuat oleh kerajaan Negeri Selangor dan Kelantan untuk mengharamkan BTN itu mungkin ada kewajarannya tetapi janganlah pula ia dijadikan sebagai noktah terakhir riwayat BTN di negeri itu tanpa syor-syor yang bernas dan kepada pendoktrin-pendoktrin UMNO baru di dalam BTN itu seharusnya sedar amaran yang telah diberikan oleh kedua-dua buah negeri itu, agar tidak lagi mencanangkan ideologi UMNO baru kepada pesertanya…

    Saya bukanlah mahu menyokong BTN ataupun sebaliknya, tetapi saya melihat BTN ini sebagai sebuah agensi yang agak berjaya, cuma mainan politik di dalamnya dilihat kurang enak dan condong mendoktrin pesertanya dengan ideologi UMNO baru.

    Kita pula sebagai Mahasiswa/wi saya sarankan jadilah sebagai agen “Check and Balance” kepada masyarakat, bukannya terikut-ikut dengan irama parti-parti politik di luar sana. Kita seharusnya mewujudkan jalan penyelesaian terbaik kepada isu ini, tidak perlulah rasanya kita cuba jadi pemain di sebelah mana-mana pihak dalam perlawanan mereka. Baharulah anjakan idealisma Mahasiswa yang neutral akan dijunjung serta dihormati…

    Tindakan pihak kerajaan untuk mengkaji semula modul BTN amatlah bagus dan kajian itu mestilah meliputi seluruh anggota kakitangan BTN dari peringkat atasan sehinggalah bawahan yang begitu tebalnya asap keris UMNO baru dalam diri mereka.

    Jika pihak kerajaan benar-benar jujur untuk membina BTN yang bersifat 1 Malaysia itu, usahlah segan-segan mengadakan jemputan rundingan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang dan pihak-pihak yang sepatutnya, agar BTN yang dibentuk itu tidaklah diragukan sama sekali. Kepada yang berkenaan, janganlah kerana tidak suka dengan perabot dalam sebuah rumah, habis seluruh rumah itu hendak dibakarnya.

    ————–

    *Penulis ialah mahasiswa Universiti Utara Malaysia dalam bidang Sains dan kini sebagai Pengerusi Pro-Mahasiswa UUM.

Leave a Comment