Logo Background RSS

Warga UKM.. Ada Apa Dengan A Famosa Resort?

  • oleh : Ali Bukhari Amir

    logo-trans-copy.jpgKetika menulis ini, mungkin sekumpulan pelajar yang bakal bergelar pimpinan siswa bagi sidang pilihan raya kampus akan datang mungkin telah (sedang atau akan) berkursus di A Famosa Resort, Melaka.

    Saya pun tak suka dengar maklumat yang bukan-bukan. Kita mesti mendengar penjelasan sendiri daripada tuan punya tubuh. Itu baru adil, saksama dan bijaksana namanya.

    Sebenarnya, saya bukan bermasalah sangat dengan program anjuran universiti ini. Hanya, ada pihak-pihak tertentu di universiti dulu telah menyalahtafsirkan tindakan saya sebagai anti hiburan, anti HEP dan sebagainya.

    Padahal hati saya sifar daripada sikap, pendirian dan sifat sedemikian.

    Saya pula tidak cukup waktu, ruang dan kesempatan untuk memberi penjelasan terhadap beberapa pendirian dan sikap terdahulu. Tidak mengapa, berhubung sikap ini, kalau ada ruang pada masa yang akan datang, saya akan tulis semula insya Allah.

    Beberapa acara universiti tergendala
    Khusus mengenai UKM, saya tidak tahu ada berapa acara siswa yang sedang tergendala, atau telah dan kini sedang menuju proses ketergendalaan.

    Tapi, yang tiba ke pengetahuan saya ada tiga. Pertamanya, kes forum berhubung Palestin dahulu yang menyebabkan forum itu tidak dapat dilaksanakan.

    Kedua, acara ISI UKM yang mahu membuat baktisiswa. Saya mendapat tahu, kerajaan negeri Kelantan telah bersetuju, tetapi pihak HEP pula yang tidak membenarkan.

    “Kalau awak nak pergi ke Pasir Putih, Deli.. saya boleh luluskan dengan cepat,” demikian kata seorang pegawai HEP UKM kepada pengarah program acara Bakti Siswa itu.

    Pengarah program itu, seorang aktivis ISI (Ikatan Studi Islam) juga memberitahu bahawa, HEP akan meluluskan programnya jika tempat-tempat itu adalah kawasan di mana Umno telah menang dalam pilihan raya sebelum ini.

    “Jadi, kalau kami berkeras juga, memang dia tidak akan luluskan,” pengarah program itu memberitahu. Dan, sehingga kini, saya tidak tahu apakah perkembangan program tersebut.

    Kita bukan mahu riwayatkan samada acara itu berjaya atau tidak dilaksanakan, diluluskan atau tidak, tapi yang mahu diriwayatkan ialah berhubung sikap dan pendirian HEP.

    Jangan meng’umno’kan keadaan
    Pada saya, tiada masalahnya jika pegawai HEP menganut faham Umno dan menjadi ahli Umno. Yang bermasalah ialah, apabila mereka cuba mengumnokan keadaan persekitaran universiti. Saya tidak tahu kalau-kalau parti pembangkang juga berpendirian serupa.

    Tapi, untuk menghukum parti-parti pembangkang yang lain tak boleh juga kerana mereka bukan parti pemerintah. Mereka tiada kuasa, cengkaman dan hegemoni ke atas universiti di Malaysia. Lagi pun, mereka anti Auku dan bersetuju dengan autonomi universiti.

    Ketiga, ialah acara Bakti Siswa mahasiswa UKM ke Kemboja. Saya kebetulan hadir juga dalam program mereka selepas tempoh itu. Di sana mereka meriwayatkan segalanya.

    Perkara yang sama tetap berlaku. Asal saja program itu melibatkan ISI UKM, tentu akan jadi masalah. Kenapa harus begitu? Semua tahu pegawai HEP ini Umno. Tiada salahnya jika menganut aqidah dan kepercayaan Umno, tapi jangan meng’umno’kan keadaan.

    Meng’umno’kan keadaan persekitaran bermaksud, mengenakan elemen, unsur paksaan ke atas mahasiswa, pensyarah dan warga kampus seluruhnya.

    Yuran pengajian mahasiswa itu dibayar kepada Jabatan Bendahari Universiti untuk ehwal akademik, bukan untuk parti. Kalau mahasiswa ISI, dengan segala kebijaksanaan mereka turun ke Kelantan untuk bertemu pemimpin PAS sekali pun, janganlah lihat isu itu adalah isu menggunakan kemudahan universiti untuk keuntungan pembangkang.

    Tapi, lihat dari sudut yang lebih bersih dan jernih. Iaitu, mereka mahu bertemu pimpinan kerajaan negeri Kelantan. Salahkah, jika pemimpin Aspirasi mahu bertemu Haji Abdullah Ahmad Badawi atau menemui pimpinan parti Umno? Tidak salah bukan?

    Aspirasi, Wufi, Revo, ISI dan segala macam pertubuhan mahasiswa ini adalah halal kalau mereka mahu menggunakan dana universiti untuk bertemu mana-mana pemimpin parti di dalam Malaysia ini.

    Pas, Dap, Keadilan, Umno, dan lain-lain parti termasuk badan-badan bukan kerajaan seperti Jim, Abim, PKPIM, GPMS dan lain-lain yang tertakluk di bawah Majlis Belia Malaysia adalah pertubuhan yang halal lagi berdaftar adanya.

    Jadi, kenapakah dangkal benar pemikiran segelintir pimpinan universiti. Dan yang paling utama, kenapakah terlalu ‘bias’ dan kerap bersikap pilih kasih kepada warga kampus yang bukan sejalur pendirian politik dengan kita?

    Kampus adalah ladang fikiran, di mana benih-benih pemikiran ditanam dan segala hujah pendapat dan debat dilagakan, pandangan akan bertempur, simpang siur pemikiran akan bersilang, dilagakan untuk menuai fikrah terunggul! Namun, semangat ini hilang!

    Tulisan ini ingin menuntut penjelasan bertulis daripada TNC HEP UKM termasuk TNC-TNC daripada universiti yang lain.

    Idea dan syor..
    Kepada warga kampus.. walau di mana sahaja anda berada, jika pihak universiti, khasnya HEP tidak meluluskan acara anda, sila tulis surat kepada Kementerian Pengajian Tinggi, dan dibuat salinan kepada Speaker Parlimen, ahli-ahli Parlimen yang anda suka, termasuk satu salinan kepada saya sendiri. Nanti kita bincang tindakan selanjutnya..

    Kepada pimpinan universiti dan HEP, saya boleh agak jiwa saudara terpecah kepada dua bahagian. Mungkin ada yang terpaksa mengikut arahan KPT dalam beberapa keadaan. Di sini, ikutlah saranan KPT itu, tapi salur-salurkanlah maklumat kepada kami.

    Kepada pegawai HEP, pimpinan universiti beracuan Umno dan ingin melaksanakan jihad Umnonisasi dalam universiti untuk keperluan membodek dan mengampu, syor saya ialah libatkan wang Umno Pusat juga jika ada arahan KPT yang meng’umno’kan pelajar.

    Minta peruntukan Umno Pusat untuk meneruskan program Umnonisasi. Jangan gunakan duit kerajaan. Kerajaan boleh jadi sesiapa sahaja, hari ini Umno, mungkin esok luas PAS. Peruntukan kerajaan itu, pada hakikatnya adalah duit rakyat seluruhnya.

    Mereka membayar cukai kepada kerajaan (negara) yang diberi mandat untuk memerintah dan bukanlah membayar yuran keahlian parti masing-masing. Sila fahamkan cara berfikir sebegini. Rancangan ‘Umnonisasi’.. peruntukannya daripada Umno Pusat.

    Setidak-tidaknya, cara befikir begini akan menyebabkan maruah Umno dan maruah HEP itu akan lebih dihormati berbanding sikap mengguna peruntukan universiti dengan tujuan kepartaian. Kita pun bukannya anti mana-mana ‘parti’, kita cuma anti ’sikap tak betul’.

    Dan, inilah yang maksud tulisan ini.. adakah segerombolan pasukan bakal pimpinan dari UKM di A Famosa Resort itu digunakan oleh peruntukan IPT? Atau, bil-bil resort boleh anda ‘claim’ semula daripada Umno Pusat? Mohon penjelasan.. Sekian, terima kasih.

    Bangga dengan bangunan penjajah, ertinya pemikiran masih terjajah
    Kota A Famosa..namamu terpahat dalam sejarah. Walaupun engkau terbina oleh Portugis dan Stadhuys pula terbina oleh Belanda, tapi insan yang terjajah pemikirannya masih lagi memujamu sehingga melihatmu sebagai bahagian daripada belahan jiwa negara ini.

    Nampaknya Ketua Menteri Melaka masih lagi terjajah pemikirannya walaupun negara ini sudah lama merdeka. Hakikat bahawa masyarakat Portugis masih wujud di Melaka, maka kita menerima mereka seadanya. Tapi, bangunan bermotif penjajahan jangan diagungkan sama sekali. Sekadar ia bernilai produk pelancongan, boleh kita terima..

    Tetapi bagi pemimpin kita yang masih mengiktiraf bangunan penjajah untuk dimegahkan sebagai produk pelancongan hingga disebabkan bangunan itu.. seorang pelakon luar telah mendapat anugerah, bintang dan pingat kebesaran negara, bermaruahkah Umno ini?

    Melaka.. dengan kehebatan Empayar Kesultanan Melayu Melaka sudah lama megah dan gah sebagai kawasan perdagangan sebelum tibanya para soldadu wizurai Portugis ini.

    Kini, anak-anak merdeka ini dimukhayyamkan, ditamrinkan di tempat-tempat yang rapat dengan penjajah dan penjajahan, bukannya mahu ditarbiyyah, ditamrinkan di Masjid Kg. Hulu atau lain-lain tempat yang bercirikan keislaman dan bercitrakan kemelayuan.

    Jika penggambaran itu mengambil tempat bercirikan keislaman yang segar dengan unsur kemelayuan, maka dengan sebab itu mahu diberikan anugerah, masih bolehlah diterima, (dengan berat hati, kerana pelakon itu bukan berjasa sangat kepada negara ini.)

    Ketua Menteri Melaka adalah Pengerusi Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam pula. Hai pening kepala, bergetar jiwa memikirkan jalur fikiran para pemimpin kita sekarang.

    Sajalah kita panjang-panjangkan isu ini pula di sini. Ini kerana, ada kaitan yang sangatlah halus dan mendalam pula. Jika kita tidak mengupas dan membedahnya secara mendalam, maka orang tidak dapat melihat pula kesannya terhadap pendidikan negara.

    Kita khuatir juga mengenai satu perkara..kita namakan anak-anak kita dengan nama yang indah-indah dan punya maksud yang baik. Kita sekolahkan dia di sekolah terbaik agar dia mendapat pendidikan yang terbaik.

    Sebagai Muslim dan Melayu, elakkan menghantar anak-anak ke kindergarten yang tidak bercirikan keagamaan Islam dan Melayu. Hantarlah ke Pasti, Taski atau mana-mana saja taman asuhan yang diyakini jelas membawa unsur baik kepada kerohanian mereka.

    Syahadan, ‘tamrin’ Aspirasi mutakhir kini banyak diadakan di Hotel Lima Bintang, sudah diasuh budaya kemewahan, kurang bergaul dengan masyarakat bawahan, dihantar kepada ’sekolah pemikiran’ A Famosa dan entah macam-macam lagi tempatnya.

    Mahu ke manakah generasi pemimpin pelajar ini pada suatu hari nanti jika terlalu banyak ‘dibebankan’ dengan budaya yang bukan akarnya, bukan milik warisan moyangnya?

    Tempat sejarah lagikan dikenang.. inikan pula tempat Shah Rukh Khan berlakon dekat A Famosa sehingga meraih anugerah bintang kebesaran, darjat, pangkat gelaran Dato’.

    Kepada Dato’ Wira Ali Rustam, salam perkenalan dan salam muhibbah..

    3 Januari, 5:45 p.m
    Sekolah Pemikiran Pendang

    Warga kampus UKM, mahasiswa, pensyarah, pihak pegawai HEP UKM atau orang-ramai yang mahu memberikan maklumbalas berhubung acara universiti mereka yang tidak mendapat kelulusan universiti sila majukan ke mel-e ibnuamir@yahoo.com. Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _-harakahdaily

Advertisement

Leave a Comment